Lionel Messi akan terlepas perlawanan LaLiga di antara Barcelona dan Elche malam esok selepas gagal dalam rayuannya daripada digantung dua perlawanan.

Penggantungan bintang Argentina itu berpunca daripada satu insiden ketika pasukannya tewas kepada Athletic Bilbao dalam final Supercopa de Espana, di mana dia diarahkan keluar padang selepas dikesan memukul Asier Villalibre susulan rujukan video bantuan pengadil (VAR).

Selepas melakukan 753 penampilan buat kelab itu dalam kesemua kejohanan, ia merupakan kali pertama Messi dilayangkan kad merah.

Barca mengemukakan rayuan berkenaan penggantugan itu tetapi mengesahkan semalam bahawa usaha mereka tidak berhasil dan ia bermakna Messi tidak dapat beraksi di Estadio Martinez Valero malam esok.

Pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu telahpun menjalani penggantungan pertamanya dengan tidak terlibat dalam perlawanan Copa del Rey di laman Cornella awal pagi semalam.

Ousmane Dembele dan Martin Braithwaite menjaringkan gol dalam masa tambahan selepas Barca mensia-siakan dua sepakan penalti ke atas lawan daripada liga divisyen tiga itu.

Messi akan kembali mewakili Barca dalam perlawanan pusingan 16 Copa del Rey menentang Rayo Vallecano, Rabu ini sebelum sekali lagi bertemu Bilbao dalam LaLiga hujung bulan ini.