Menang tipis sudah memadai buat City -- Guardiola

By Shaiful Shamsudin 5 March 2020 262
Menang tipis sudah memadai buat City  -- Guardiola
SHEFFIELD WEDNESDAY 0 MANCHESTER CITY 1

Pep Guardiola gembira juara bertahan Piala FA, Manchester City, tiada masalah untuk ke suku akhir dengan kemenangan 1-0 ke atas Sheffield Wednesday.


Jaringan Sergio Aguero dalam separuh masa kedua, gol ke-20 peribadinya dalam kejohanan itu, sudah cukup untuk City meraih kemenangan ke atas lawan daripada Liga Kejuaraan berkenaan dalam aksi pusingan kelima di Hillsborough itu.

Seteru dari divisyen lebih bawah pernah mencetuskan masalah buat City dalam kempen Piala FA sebelum ini, antaranya Wigan Athletic yang menyingkirkan skuad kendalian Guardiola itu di peringkat sama, dua musim lalu selain Huddersfield Town yang memaksa aksi timbal balik pada 2017.

Namun, senario itu tidak pernah timbul ketika tuan rumah gagal mencatat sebarang percubaan tepat sepanjang 90 minit.

Bercakap kepada BBC Sport, Guardiola berkata: "Kami menghadapi Wigan dua musim lalu, saya masih ingat lagi insiden masa tambahan dan detik terakhir perlawanan musim lalu ketika bertemu Swansea.

Aguero membantu City mencapai kemenangan kelima berturut-turut dalam semua kejohanan termasuk pertemuan pertama Liga Juara-Juara (UCL) di Real Madrid, minggu lalu, dan kemenangan Piala Liga Inggeris (EFL) ke atas Aston Villa, hujung minggu lalu.

Memandangkan The Citizens masih segar meraikan trofi pertama musim ini selepas tiga hari, Guardiola nyata gembira mereka merekodkan kemenangan dalam Piala FA.

"Tidak kira bahagian mana-mana pun, kami sangat ampuh," tambahnya dengan pasukannya akan menghadapi Newcastle United di peringkat suku akhir.

"Sukar untuk menembusi 10 pemain bertahan mereka. Kami sukar membuat hantaran tetapi kami mencipta peluang yang mencukupi untuk menang. Dua percubaan juga terkena tiang dan palang, lebih-lebih lagi peluang dalam babak kedua.

"Ia adalah satu minggu yang sukar buat kami. Seperti yang kami katakan sebelum ini, kami kehausan kekuatan mental tetapi pemain-pemain bersedia untuk terus berjuang dan beraksi sebaik mungkin untuk layak ke pusingan seterusnya."

 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment