Kylian Mbappe telah memberitahu Neymar dia tidak akan mengambil langkah untuk menggantikan rakan sepasukannya itu sebagai pemain utama Paris Saint-Germain (PSG).

Ketika Neymar bergelut dengan masalah kecederaan, Mbappe kerap kali bertindak selaku penyerang utama PSG sejak dia berhijrah daripada Monaco pada 2017.

Penyerang berusia 21 tahun itu telah meledak 39 gol dalam kesemua pertandingan musim lalu dan 18 bagi musim ini.

Bagaimanapun, Mbappe menegaskan dia tidak bercadang untuk merampas tumpuan utama yang diletakkan kepada Neymar, yang menampilkan aksi cemerlang setiap kali turun beraksi bersama skuad kendalian Thomas Tuchel itu musim ini.

"Ketika saya tiba di Paris, tiada sebarang perdebatan. Neymar merupakan seorang bintang," kata Mbappe kepada France Football.

"Dia mengalami kecederaan, Brazil tersingkir daripada Piala Dunia dan saya memenanginya. Kemudian timbul cerita mengenai persaingan di antara kami, mengenai kesediaan saya untuk mengambil tempatnya.

"Saya sangat terkejut dan ketika saya kembali bersama pasukan pada Ogos 2018, perkara pertama yang saya lakukan adalah pergi kepada Neymar dan memberitahunya, 'Jangan risau, saya memberikan jaminan tidak akan mengambil alih tempat anda. Saya sentiasa di sini untuk membantu anda.'"

Mbappe tidak meletakkan sasaran untuk bersaing dengan Neymar, sebaliknya mula mengintai peluang untuk mengatasi seorang lagi bintang dunia.

Lionel Messi merekodkan kemenangan enam Ballon d'Or tahun ini dan Mbappe mahu menamatkan musim ini selaku penjaring terbanyak di Eropah, namun menyedari sukar untuk mengatasi penyerang Barcelona itu.

"Berbanding berdiam diri sehingga tamat musim, saya akan berusaha untuk mencabar diri sendiri," katanya.

"Kemudian saya menyedari bahawa saya mampu mengejar kedudukan penjaring terbanyak Eropah, namun pesaing saya adalah Messi. Saya menjaringkan dua gol, dia meledak tiga, saya melakukan hatrik, dia pula menjaringkan empat gol!

"Saya pernah bertanyakan kepada Ousmane Dembele (pemain sayap Barcelona). 'Ini sesuatu yang mustahil, adakah dia melakukannya secara sengaja?' Adakah dia melihat bilangan jaringan saya? 'Semestinya dia melihatnya!'

"Saya berkata kepada diri sendiri, Ya, Messi sedang melihat saya. Ia merupakan sesuatu yang menggembirakan apabila seorang pemain yang berkualiti tidak mengetepikan anda."