Naib Presiden Inter Milan, Javier Zanetti, melihat masa depan Lautaro Martinez kekal di pentas Serie A walaupun juara LaLiga dilaporkan berminat dengan khidmat penyerang itu.

Barca dikaitkan dengan Martinez selepas Lionel Messi dan Luis Suarez memuji bintang Argentina itu.

Martinez -- yang turut menarik perhatian kelab besar lain seperti Real Madrid, Manchester United dan Manchester City -- dilihat sebagai pengganti jangka masa panjang buat Suarez di Camp Nou.

Namun, bekas kapten Nerazzurri, Zanetti, tidak melihat kebarangkalian untuk penggempur itu meninggalkan Inter.

"Berdasarkan bakat yang dilihat, Martinez merupakan antara yang terbaik," katanya.

"Dia adalah salah seorang pemain paling menarik dalam bola sepak Argentina.

Sebelum penangguhan Serie A ekoran wabak coronavirus, Martinez telah mencipta gandingan mantap dengan seorang lagi penyerang Inter, Romelu Lukaku.

Dia meledakkan 11 gol dalam 22 penampilan musim ini dan 16 jaringan dalam semua kejohanan bersama skuad kendalian Antonio Conte itu.

Serie A dihentikan sejak 9 Mac lalu selepas Itali bergelut dengan kesan COVID-19.

Milan serta lembah Lombardy merupakan antara kawasan paling teruk terkesan dengan COVID-19 di Itali, di mana lebih 2,500 orang telah meninggal dunia daripada sekurang-kurangnya 31,500 kes.

Di seluruh dunia, sekitar 8,000 nyawa terkorban akibat COVID-19 tatkala virus itu kian merebak.