Bekas ketua jurulatih Itali, Juventus dan pemenang Piala Dunia, Marcello Lippi, berkata dia "sudah selesai" menjadi jurulatih.

Lippi tidak mempunyai pekerjaan sejak meletak jawatan ketua jurulatih China pada November tahun lalu susulan kekalahan kepada Syria dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 -- tempoh keduanya bersama negara itu hanya bertahan selama enam bulan.

Pengendali berusia 72 tahun itu pernah menjulang trofi bersama Itali, pasukan Serie A, Juventus, dan skuad gergasi China, Guangzhou Evergrande, tetapi legenda Itali itu tidak akan meneruskan karier berkenaan.

"Saya sememangnya sudah selesai dengan tugas sebagai jurulatih," katanya kepada Radio Sportiva.

"Benar, ia sudah cukup. Mungkin saya lebih berguna dalam peranan lain, kita akan lihat tetapi tiada apa-apa lagi sehingga musim bunga ini."

Selepas mengendalikan Atalanta dan Napoli, Lippi menyertai Juventus pada 1994 dan membimbing skuad Bianconeri itu menjuarai tiga gelaran Serie A selain gelaran terakhir Juventus dalam Liga Juara-Juara Eropah musim 1995-96.

Sepanjang dua era bersama Juventus, yang mengapit tempoh semusim bersama Inter Milan, Lippi menjulang lima trofi Serie A, empat kejuaraan Supercoppa Italiana, UCL, Piala Super UEFA, Piala Intercontinental dan Coppa Italia.

Selepas meninggalkan Juventus pada 2004, Lippi membantu Itali menjulang Piala Dunia pada 2006 dan dilantik semula menjadi jurulatih skuad Azzurri itu pada 2008.

Di China, Lippi menyertai Guangzhou Evergrande pada 2012 dan memenangi tiga kejuaraan Liga Super China.