Skuad bawah 22 tahun (B-22) negara buat kali pertama mengesahkan kelayakan untuk beraksi dalam Kejohanan AFC B-23 di China tahun depan selepas menjuarai Kumpulan H saingan kelayakan di Thailand, hari ini.

Malaysia menduduki tangga teratas kumpulan itu selepas perlawanan terakhir di antara Thailand dan Indonesia terikat 0-0, sebentar tadi.

Terdahulu pada petang tadi, skuad muda negara meraih kemenangan menewaskan Mongolia 2-0 di Stadium Supachalasai, hasil jaringan N. Thanabalan dan Syazwan Andik.

Sebelum itu, Malaysia mengalahkan Indonesia 3-0 pada Rabu dan tumpas kepada Thailand 3-0, kelmarin.

Mengulas mengenai pencapaian bersejarah skuad muda negara yang muncul dalam kelompok 16 pasukan terbaik di Asia untuk melayakkan diri ke Kejohanan AFC B-23, ini komen Kim Swee:

"Apabila kami sampai ke Bangkok, kami mempunyai misi dan pemain tahu yang kami inginkan kelayakan ke peringkat seterusnya. Jadi apa yang kami dapati di sini, apa yang dilalui, akhirnya kami berjaya.

"Ini menunjukkan sikap juang yang cukup baik daripada pemain dan pegawai. Ia penting, selepas kami gagal mengumpul pemain, kami mampu memberi impak yang cukup baik dengan layak secara automatik.

"Ini adalah satu keputusan yang baik dalam senario bola sepak kita, di mana pemain muda kita membuktikan mereka mampu bersaing dengan gergasi Asia selepas ini.

"Apa yang penting, kami tidak boleh mudah gembira, cepat terlupa, di mana kami ada beberapa hari sahaja lagi untuk mempersiapkan diri ke Sukan SEA. Biarkan kami lalui Sukan SEA dahulu dan selepas itu kami akan memikirkan program untuk skuad B-22 ini," tambah Kim Swee.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Wira Yusoff Mahadi, menyuarakan rasa bangga dengan kejayaan itu sambil mengucapkan tahniah kepada Kim Swee dan barisan pemainnya.

"Pertamanya, bersyukur kepada Allah SWT kerana pasukan negara -- yang walaupun persediaannya tidak sebagus seperti sepatutnya -- dapat meneruskan perjuangan ini dengan satu semangat untuk membuktikan sesuatu kepada rakyat Malaysia.

"Ia khusus untuk rakyat Malaysia yang cintakan bola, untuk membawa nama Malaysia kembali ke zaman kegemilangannya seperti masa-masa yang lalu. Kami mengucapkan tahniah kepada jurulatih dan juga semua pemain," katanya.

Sebanyak 40 negara yang dibahagikan kepada 10 kumpulan bersaing, dengan juara dan enam naib juara terbaik akan melayakkan diri ke pusingan akhir di China, dari 9 hingga 17 Februari tahun depan.