Impak daripada kecemerlangan bersama pasukan remaja, Luqman Hakim Shamsudin buat julung kalinya tersenarai dalam skuad senior KV Kortrijk untuk menyambut kunjungan Anderlecht di Stadium Guldensporen, Kortrijk, awal pagi Sabtu ini.

Pemain kelahiran Kota Bharu berusia 18 tahun itu mula mencuri perhatian pengendali, Yves Vanderhaeghe, selepas meledak tiga gol dalam barisan simpanan dan ia sudah cukup untuk meyakinkan pengurus tersebut memberikanya tempat dalam kempen Divisyen A sejak tiba di Belgium Ogos lalu.

Berita itu dikongsikan kelab berkenaan dalam satu kenyataan di media sosial dengan memberi bayangan ada penambahan baru dalam pasukan tersebut dengan memaparkan bendera Malaysia.

Kortrijk menduduki tangga kelapan dengan mengumpul 14 mata selepas sembilan perlawanan, satu anak tangga mengatasi Anderlecht menerusi perbezaan jaringan.