Luqman Hakim Shamsudin tidak berada dalam kondisi terbaik, kata ketua jurulatih Selangor II, Michael Feichtenbeiner ketika mengulas mengenai perpindahan penyerang muda sensasi negara itu ke kelab Belgium, KV Kortrijk.

Pemain kelahiran Kelantan itu menandatangani kontrak selama lima tahun bersama pemilik kelab itu, Tan Sri Vincent Tan, dalam satu majlis di ibu negara hari ini.

Sudah pasti ia bukan penghijrahan yang mudah buat Luqman Hakim tetapi dengan kesepakatan yang ditandatanganinya itu, segala-galanya kini terletak di bahunya sendiri.

Bagi Feichtenbeiner, Lukman Hakim memiliki bakat yang luar biasa dan dia secara peribadi berasakan kesukaran itu hanya bersifat sementara sambil mengharapkan penyerang yang pernah berada di bawah kendaliannya itu bijak dalam menyerap tekanan semasa.

"Dia mengikut latihan kami selama beberapa minggu ini dan turut menyertai perlawanan dalaman yang kami adakan di mana dia beraksi selama beberapa minit.

"Pada ketika ini, dia berada dalam kondisi yang baik tetapi bukan yang terbaik.

"Ia sudah pasti kerana dia kekurangan perlawanan dan saya fikir dia tidak bermain dalam sebarang kejohanan sepanjang tahun ini," katanya.