Romelu Lukaku menunjukkan rasa cinta mendalamnya buat Inter Milan sebagai satu petanda bahawa dia mahu kekal bersama juara baru Serie A itu selepas ditabalkan sebagai pemenang Scudetto musim ini.

Inter, yang menewaskan Crotone 2-0 semalam, sah bergelar juara Serie A selepas pasukan di tangga kedua, Atalanta, gagal menewaskan Sassuolo malam tadi, dan jurang 13 mata yang dimiliki mereka tidak lagi dapat dikejar pasukan lain.

Lukaku memainkan peranan penting dalam memastikan kejuaraan Serie A pertama Inter sejak musim 2009-10, di mana bekas penyerang Manchester United itu telah menjaringkan 21 gol dan menghasilkan 10 bantuan jaringan sepanjang musim ini.

Aksi cemerlang pemain kebangsaan Belgium itu telah mencetuskan laporan bahawa terdapat minat daripada pasukan seperti Real Madrid, Barcelona, Chelsea dan Manchester City untuk mendapatkan khidmatnya tetapi Lukaku kelihatan amat gembira berada di Milan.

Lukaku menaiki kenderaannya semalam dan meraikan kejayaan menamatkan penantian memenangi Scudetto selama 11 tahun Inter bersama penyokong mereka di jalanan.

"Saya amat gembira buat kesemua penyokong Inter di seluruh dunia, buat pasukan ini, staf, presiden dan semua orang," kata Lukaku kepada Sky Sport Italia.

"Ia tahun yang hebat buat kami, saya amat berbangga dapat bermain untuk Inter. Saya mahu keluar dan meraikannya dengan orang di sini.

"Saya memberitahu rakan saya bahawa ini adalah cara terbaik untuk meraikannya, untuk berada di sini bersama penyokong.

"Bagi saya dan kebanyakan rakan sepasukan saya, ini merupakan gelaran liga pertama kami, jadi ia satu momen untuk kami kongsikan bersama mereka.

"Tahun lalu agak bagus juga tetapi ya, ini adalah waktu terbaik dalam karier saya.

"Ia amat hebat dan saya berharap untuk meneruskannya seperti ini. Saya mahu berterima kasih kepada semua orang. Saya benar-benar gembira," katanya.