Romelu Lukaku menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama ketika Inter Milan menewaskan Lazio 3-1 awal pagi tadi, sekali gus merekodkan gol ke-300 sepanjang kariernya.

Penyerang Belgium itu membuka jaringan menerusi sepakan penalti dalam perlawanan Serie A di San Siro itu dan menambah satu lagi jaringan pada penghujung separuh masa pertama -- gol itu disahkan selepas keputusan awal mendapati dia berada di kedudukan ofsaid.

Lukaku kini telah menjaringkan 56 gol buat Inter dalam kesemua kejohanan sejak menyertai pasukan itu daripada Manchester United pada Ogos 2019 -- 16 daripadanya dihasilkan dalam saingan liga musim ini.

Ia kurang satu gol berbanding rekod pemain berusia 27 tahun itu dalam pasukan senior skuad kebangsaannya dan masih jauh untuk menyamai pencapaian menjaringkan 87 gol buat Everton dari 2013 hingga 2017.

Selain itu, Lukaku juga pernah menjaringkan gol buat Manchester United (42), Anderlecht (41) dan West Brom (17) tetapi dia gagal mendaftarkan sebarang gol sepanjang 15 penampilannya bersama Chelsea.