Virgil van Dijk menyifatkan kekalahan 1-0 Liverpool di tangan Atletico Madrid dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah sebagai tidak bernasib baik dan memberi amaran buat kelab Sepanyol itu bahawa masih ada 90 perlu dihadapi.

Dalam aksi awal pagi tadi, jaringan awal Saul Niguez memberikan Atletico kelebihan satu gol sebelum bertandang ke Anfield, 11 Mac depan.

Saul meledakkan gol dari jarak dekat setelah menerima bola hasil sepakan sudut ketika permainan berusia empat minit dan skuad kendalian Diego Simeone itu mengekalkan pendahuluan di Madrid.

Juara bertahan, Liverpool, mendominasi perlawanan di ibu negara Sepanyol itu tetapi gagal mencipta sebarang percubaan tepat sambil Mohamed Salah dan Jordan Henderson mensia-siakan peluang terbaik.

Bagaimanapun, walaupun tewas di Wanda Metropolitano, Van Dijk kekal yakin dengan pasukannya menjelang aksi kedua yang berbaki tiga minggu lagi.

"Kami melepaskan gol daripada sepakan sudut, peluang pertama lawan tetapi ia lebih kepada tuah," katanya.

"Mesej dalam babak pertama adalah teruskan bermain. Kami banyak memegang bola tetapi gagal menggunakan setiap kesempatan. Masih ada 90 minit.


"Itu cara mereka beraksi. Ia lebih ke arah corak permainan di Sepanyol dan anda perlu sesuaikan diri tetapi kami sedar dan fikir telah mengawalnya dengan baik."


Bersetuju dengan pendapat rakan sepasukannya itu, bek kiri, Andy Robertson, berkata sorakan padu penyokong lawan ketika sehingga wisel penamat akan disusuli dengan rekod cemerlang Liverpool di laman sendiri.

"Kami tampilkan aksi terbaik dan tahu mampu beraksi lebih bagus. Kami menuju aksi kedua dengan aksi terbaik," katanya.

"Selepas tamat perlawanan, mereka meraikannya seperti telah memenangi perhitungan. Mereka akan datang ke Anfield dan kami tahu peminat berada di sana.

"Kami membiarkan lawan meraih permulaan terbaik, berbekalkan penyokong yang ada, kemudian semangat mereka mula hadir dan ia sedikit menggerunkan."