ATHLETIC 0 BARCA 4

Lionel Messi memuji pencapaian istimewa Barcelona menjulang satu lagi trofi tatkala Presiden Barca, Joan Laporta, memberi sokongan penuh kepada bintang itu untuk menandatangani perjanjian baru.


Pemain berusia 33 tahun itu meledak dua gol dalam kemenangan 4-0 untuk menggondol kejuaraan Copa del Rey ke atas Athletic Bilbao, awal pagi tadi, selepas Antoine Griezmann dan Frenkie de Jong memberikan Barca pendahuluan dua gol.

Dengan jaringan bergandanya itu, pemenang enam Ballon d'Or tersebut kini mencatatkan sembilan gol dalam 10 penampilan untuk mengatasi legenda Atletic, Telmo Zarra.

Dia juga merupakan penjaring keempat terbanyak dalam pertandingan itu dengan koleksi 56 gol bagi mengekori pencapaian Guillermo Gorostiza (64), Jose Samitier (69) dan Zarra (81).



Masa depan Messi terus menjadi topik hangat memandangkan kontraknya yang akan berakhir pada akhir musim ini, gelaran Copa ketujuh itu berpotensi menjadi kejuaraan terakhirnya bersama gergasi Catalan berkenaan.

Barca dipaksa menunggu selepas separuh masa pertama untuk menembusi kekebalan penjaga gol lawan, Unai Simon, tetapi Messi gembira dengan ketenangan pasukannya untuk memecahkan benteng Athletic.

"Seronok dapat menjulang gelaran. Ini adalah hari yang sangat gembira untuk pasukan ini," kata Messi.

"Cukup istimewa untuk menjadi kapten kelab ini. Ini adalah piala yang sangat istimewa buat saya.

"Kami sedar Athletic akan tampil dengan permainan seperti ini, dengan menerapkan formasi ampuh 4-4-2. Kami bersabar mengawal bola dan mencipta ruang. Kami banyak bergerak dalam babak pertama dan saya fikir mereka tidak begitu tersusun dalam separuh masa kedua.

"Malangnya kami tidak dapat meraikannya bersama peminat. Situasi inilah yang harus kami tempuhi. Piala ini tetap istimewa dan kami akan menikmatinya."

Barca mempamerkan peningkatan sejak awal tahun ini apabila kini dua mata dipisahkan dengan pendahulu LaLiga, Atletico Madrid, biarpun tewas kepada Real Madrid dalam 'El Clasico' minggu lalu.

"Ia adalah satu keadaan yang sukar buat kami dalam separuh pertama musim ini. Kami kehilangan banyak mata," tambahnya.

"Kemudian kami menjadi semakin mantap, sangat bagus untuk kami mencabar kejuaraan. Sayangnya minggu lalu kami tidak dapat memperoleh keputusan yang baik dalam El Clasico."