Gerard Pique menjadi pemain pertama Barcelona atau Real Madrid mengkritik secara terbuka penubuhan Liga Super Eropah.

12 pasukan utama Eropah bersatu dan mengesahkan penglibatan mereka dalam mencipta satu liga tertutup tetapi dalam tempoh 48 jam, segala-galanya mula musnah.

Manchester City menjadi pasukan pertama menarik diri semalam dan jejaknya dituruti lima kelab Inggeris lain, iaitu Arsenal, Liverpool, Tottenham, Manchester United -- yang terdahulu mengumumkan ketua kelab, Ed Woodward, akan meletakkan jawatannya hujung tahun ini -- dan Chelsea.

Sebelum ini, tiada siapa daripada AC Milan, Inter Milan, Juventus, Atletico Madrid, Madrid atau Barca menyuarakan pandangan mereka ke khalayak ramai sejak kesemua kelab Inggeris yang terlibat menarik diri.

Bagaimanapun, keadaan itu kelihatan akan berubah apabila pemain legenda Barca, Pique, menjadi pemain pertama daripada kelab Sepanyol mengkritik penubuhan liga itu.

Pada ketika Arsenal, Liverpool, United dan Spurs mengesahkan penarikan diri masing-masing, Pique menciap dalam Twitter: "Bola sepak milik penyokong. Hari ini dan selama-lamanya."