Ketua Liga Super Eropah sedang mempertimbangkan pilihan yang mereka ada selepas separuh daripada kelab yang dicadangkan menarik diri hari ini.

Enam kelab Inggeris -- Manchester City, Arsenal, Liverpool, Manchester United, Tottenham dan Chelsea -- kesemuanya telah mengesahkan penarikan diri masing-masing.

Penarikan diri itu menyaksikan hanya Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid, Juventus, AC Milan dan Inter Milan akan meneruskan projek berkenaan.

"Disebalik pengumuman penarikan diri kelab Inggeris, di mana mereka dipaksa untuk mengambil keputusan berkenaan berdasarkan tekanan yang diberikan ke atas mereka, kami yakin cadangan kami amat selaras dengan undang-undang dan peraturan Eropah seperti yang diperlihatkan oleh keputusan mahkamah bagi melindungi Liga Super daripada ancaman pihak ketiga," kata Liga Super Eropah dalam satu kenyataan.

"Berdasarkan keadaan semasa, kami akan mempertimbangkan langkah untuk membentuk semula projek dengan sentiasa mempertimbangkan tujuan kami adalah untuk menawarkan pengalaman terbaik buat peminat sambil meningkatkan pembayaran tetap buat kesemua komuniti bola sepak."

Kenyataan Liga Super Eropah itu turut mengulangi bahawa "status quo bola sepak Eropah ketika ini perlu diubah" sambil berkata sistem Eropah ketika ini sudah "tidak berfungsi".

Projek itu mendapat kecaman yang meluas dari peminat, pemain, jurulatih, persekutuan dan pemerintah negara sejak diumumkan pada hujung minggu lalu.