Feyenoord mendedahkan bahawa kerajaan tempatan di Naples mengharamkan penyokongnya menghadiri aksi menentang Napoli dalam Liga Juara-Juara Eropah, 26 September ini.

Pada bulan lalu, laporan media mendakwa tiket bagi perlawanan Kumpulan F itu tidak akan disediakan untuk peminat skuad pelawat dan sekatan tersebut disahkan oleh juara Belanda itu hari ini.

Kenyataan daripada pihak kerajaan Naples menyatakan keputusan itu dibuat berdasarkan kebimbangan mengenai pertembungan di antara kedua-dua penyokong.

Ia dilaporkan berpunca daripada insiden di antara penyokong Feyenoord dan Roma dalam Liga Europa 2015, apabila berlaku kemusnahan bernilai GBP1 juta (RM5 juta) untuk air pancut Barcaccia yang berusia 500 tahun di ibu negara Itali itu.

Oleh kerana keputusan itu, Feyenoord tidak dapat menjual tiket untuk perlawanan tersebut.

Kenyataan daripada Feyenoord berbunyi: "Hari ini Feyenoord menerima satu salinan dokumen yang dikeluarkan kepada SSC Napoli oleh kerajaan wilayah Naples.

"Ia mengesahkan keputusan bahawa tiada peminat Belanda akan dialu-alukan di Stadio San Paolo untuk perlawanan perlawanan SCC Napoli dan Feyenoord pada 26 September. Kelab Itali itu dilarang menjual tiket untuk perlawanan itu kepada peminat Belanda.

"Ia amat dikesali untuk Feyenoord bahawa skuad kendalian Giovanni van Bronckhorst tidak akan mendapat manfaat daripada sokongan peminat dalam perlawanan kedua Kumpulan F, Liga Juara-Juara.

"Sebagai tindak balas kepada keputusan pihak berkuasa Itali, kelab memutuskan untuk tidak mengatur perjalanan bagi Kelab Perniagaan Feyenoord.

"Skuad akan ditemani dengan sekumpulan kecil pegawai."