Zlatan Ibrahimovic kembali bersua bekas kelabnya, Manchester United, untuk mengetuai Milan apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam pusingan 16 Liga Europa.

Legenda Sweden itu pernah menyertai The Red Devils di bawah kendalian Jose Mourinho selama dua musim pada Julai 2016 sebelum berhijrah ke LA Galaxy, Mac 2018.

Dalam kempen pertamanya di Old Trafford, Ibrahimovic menggondol gelaran Liga Europa sulung peribadi termasuk bekas kelabnya itu tetapi kecederaan lutut serius menghalangnya daripada beraksi dalam final berdepan Ajax.

United pernah disingkirkan empat kali oleh wakil Serie A itu di samping Real Madrid di peringkat kalah mati.



Finalis 2019, Arsenal, pula pasti mengharapkan episod duka menentang Olympiacos tidak berulang.

Pasukan asuhan Mikel Arteta itu dikejutkan kelab Greece berkenaan dalam pusingan 32 musim lalu.

Dalam masa sama, Mourinho mengintai kejuaraan kedua apabila Tottenham bakal berdepan cabaran Dinamo Zagreb sementara Roma berdepan laluan berliku menentang Shakhtar Donetsk -- yang merupakan juara terakhir tatkala kejohanan itu dikenali sebagai Piala UEFA sebelum dirombak pada 2009 .

Melengkapkan majlis undian sebentar tadi itu menyaksikan Ajax bakal berdepan Young Boys, Slavia Prague menentang wakil Scotland yang semakin berbisa, Rangers, sementara Granada bertemu Molde.