Jens Lehmann dipecat Hertha Berlin selepas didedah di media sosial kerana menyampaikan mesej berbaur perkauman kepada seorang pengulas televisyen.

Bekas penjaga gawang Arsenal dan Jerman itu dilantik menggantikan Jurgen Klinsmann untuk menggalas peranan sebagai penasihat lembaga pengarah kelab Bundesliga itu pada Mei 2020.

Begitupun, Lehmann perlu mengosongkan kedudukannya di Hertha itu berhubung ulasannya mengenai bekas rakan sepasukannya di kem kebangsaan, Dennis Aogo, yang bertugas untuk Sky Sports.

Lehmann mengirim teks WhatsApp kepada Aogo yang kemudian menyiarkan tangkap layar itu di akaun Instagram peribadinya sambil menuliskan: "Wow, adakah anda serius? Mesej ini mungkin tidak ditujukan kepada saya."




Presiden Hertha, Werner Gegenbauer, berkata: "Kenyataan seperti itu sama sekali tidak mewakili nilai-nilai yang diperjuangkan oleh Hertha.

"Kami menjauhkan diri daripada semua bentuk perkauman dan mengalu-alukan tindakan yang diambil oleh TENNOR Holding."

Lehmann, yang pernah mewakili Schalke, Milan, Borussia Dortmund dan Stuttgart sepanjang kariernya sebagai pemain kemudian meminta maaf kepada Aogo di Twitter sambil mengiktiraf kredibiliti bekas tonggak negara itu untuk muncul sebagai pengulas di Sky.