Papa Bouba Diop, bintang Senegal ketika Piala Dunia 2002, telah meninggal dunia.

Diop yang berusia 42 tahun telah bertarung dengan masalah kesihatan untuk jangka masa panjang.

Pemain tengah itu telah beraksi bersama empat kelab berbeza di England, menikmati karier di Fulham, Portsmouth, West Ham dan Birmingham City sebelum menyerlah di Perancis bersama Lens.

Dalam satu kenyataan di Twitter semalam, Lens berkata, "Dengan penuh kesedihan, Racing Club de Lens baru mengetahui kematian bekas pemain mereka, Papa Bouba Diop, pada usia 42 tahun.

"Kami mengucapkan takziah kepada yang tersayang."


Diop paling diingati kerana membantu Senegal mara ke suku akhir Piala Dunia 18 tahun yang lalu. Dia menjaringkan satu-satunya gol permainan ketika mereka mengejutkan juara bertahan Perancis 1-0 dalam pertandingan pembukaan di Seoul.

Dia menjaringkan dua gol lagi ketika seri 3-3 dengan Uruguay ketika Senegal melepasi peringkat kumpulan sebelum menewaskan Sweden pada pusingan 16.

Perjalanan luar biasa mereka diakhiri oleh Turki, yang menang 1-0 untuk mara ke separuh akhir.

Diop memulakan karier di Senegal bersama ASC Diaraf sebelum beraksi di Switzerland untuk Vevey, Neuchatel Xamax dan Grasshoppers, memenangi gelaran Liga Super pada 2001.

Dia turut menikmati semusim di Greece bersama AEK Athens, di mana dia memenangi Piala Greek pada 2010-11, tiga tahun selepas menjulang Piala FA bersama Portsmouth.

Diop, yang memenangi 63 kaps senior bersama Senegal, turut sebahagian daripada pasukan yang mara ke final Piala Negara-Negara Afrika 2002, di mana mereka tewas kepada Cameroon menerusi penalti.