Legenda bola sepak Sweden, Henrik Larsson tiada rungutan mengenai kenyataan Zlatan Ibrahimovic yang menyifatkan dirinya sebagai pemain terbaik Sweden sepanjang zaman.

Bagi Larsson, bekas rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Sweden itu adalah pemain yang mempunyai bakat dan juga perwatakan luar biasa.

Larsson juga tidak terkesan dengan kenyataan Ibrahimovic meskipun terdapat pemerhati yang mungkin berasa beliau juga boleh dianggap permata bola sepak Sweden.

“Jika lihat saja kejuaraan dan anugerah yang dimenangi Zlatan, ia membuktikan dia seorang pemain luar biasa.

“Mungkin sesetengah orang mempunyai pandangan berbeza mengenai Zlatan, tetapi saya mengenalinya cukup lama untuk mengatakan dia seorang yang mempunyai hati yang baik.

“Dia berasal dari bekas negara Yugoslavia jadi sudah pasti dia mempunyai personaliti yang berbeza berbanding pemain Sweden yang lain, “kata Larsson ketika siaran terkini Man On The Street (MOTS) yang ke udara pada Khamis, 9 malam di saluran CH813 Astro Supersport.


Dalam pada itu Larsson akui menyesal tidak terus kekal di Manchester United ketika dia beraksi secara pinjaman dengan kelab itu pada 2007.

Ketika itu, Larsson dipinjamkan selama tiga bulan semasa liga Sweden berehat dari Januari hingga Mac 2007.

Larsson tidak lanjutkan tempoh pinjaman bersama United kerana menghormati perjanjian dengan kelabnya pada waktu itu iaitu Helsingborgs.

“Saya berusia 35 tahun ketika dipinjamkan ke United dan ada sesetengah orang berasa sangai terhadap saya.

“Tetapi sebaik saya menjaringkan gol pertama buat United, tiada lagi keraguan terhadap saya.

“Saya memang pernah akui sebelum ini, saya sepatutnya kekal sehingga tamat musim 2016/17 bersama United dan mana tahu mungkin akan ditawarkan kontrak setahun lagi.

“ Tetapi saya mempunyai kontrak bersama Helsingborgs dan saya menghormati kontrak itu,” kata Larsson.

Sepanjang kariernya, Larsson diingati sebagai antara pemain terbaik yang pernah bersama kelab Scotland, Celtic.

Dia turut pernah bersama Barcelona dari musim 2004/2005 hingga 2005/06 serta turut menjuarai Liga Juara-juara Eropah bersama gergasi Sepanyol itu.