Loan Laporta memenangi persaingan untuk menjadi presiden baru Barcelona dengan individu berusia 58 tahun itu mengetepikan dua pencabar lain, iaitu, Victor Font dan Antoni Freixa.

Laporta, yang pernah memegang jawatan itu dari 2003 hingga 2010, merupakan calon pilihan dalam perebutan jawatan tertinggi kelab itu semalam dan kesemua jangkaan mengenainya ternyata benar.

Satu undian yang dilakukan stesyen televisyen Catalan, TV3, menjangkakan Laporta akan memenangi jawatan itu dengan 58.3 peratus undi, jauh meninggalkan Font (31.3) dan Freixa (9.3).

Keputusan sebenar ternyata tidak banyak bezanya apabila Laporta memenangi jawatan itu dengan 54.28 peratus undi (30,184 undi) daripada keseluruhan 51,983 undi.

Lionel Messi dan bintang pasukan utama lain seperti Sergio Busquets dan Jordi Alba, antara yang membuang undi dalam menentukan pengganti kepada Josep Mario Bartomeu, yang meletakkan jawatan pada Oktober lalu -- beberapa hari sebelum perancangan untuk melakukan undi tidak percaya oleh ahli lembaga pengarahnya.

Pemangku presiden, Carlos Tusquets, berdepan beberapa bulan mencabar sebelum ini, di mana Messi mengkritik rejim Bartomeu di Barca dan masih belum memuktamadkan masa depannya di kelab itu manakala skuad kendalian Ronald Koeman berkenaan turut ketiggalan di belakang Atletico Madrid dalam perebutan LaLiga musim ini selain ketinggalan 1-4 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Majlis undian itu sepatutnya berjalan pada 24 Januari lalu tetapi peningkatan kes COVID-19 di Sepanyol menyaksikan ia terpaksa ditunda selama enam minggu.