Pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos, yakin pasukan yang paling cepat menyesuaikan diri apabila musim LaLiga disambung semula akan meraih kejayaan.

Setelah ditangguhkan sejak Mac lalu kerana wabak coronavirus, kempen LaLiga akan bermula 11 Jun ini.

Real ketinggalan dua mata di belakang pendahulu saingan, Barcelona dengan baki 11 perlawanan musim ini.

Kroos, bersama Real akan menerima kunjungan Eibar, mengatakan siapa yang menyesuaikan diri bermain dalam stadium tanpa penyokong akan meraih kejayaan.

"Kami berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk sampai ke perlawanan pertama dalam berada dalam tahap terbaik. Kami tidak dapat melakukan apa-apa lagi, keadaan ini sama untuk semua orang," katanya kepada Real Madrid TV.

"Kami harus berlatih dengan baik dengan memastikan tahap kecergasan di tahap optimum, gerakan kami ketika menggelecek bola dan bagaimana kami harus bermain sebagai satu kumpulan, kami berlatih untuk 11 perlawanan yang akan datang.

"Ini merupakan kali pertama kita harus bermain perlawanan tanpa peminat, mari kita lihat bagaimana keadaannya, dan pasukan yang menyesuaikan diri lebih baik dengan situasi ini akan mencipta kemenangan."Real tewas tiga daripada lima perlawanan dalam semua pertandingan sebelum musim dihentikan kerana COVID-19.

Kroos mengatakan bahawa kembali berlatih dengan intensif merupakan perkara penting sebelum permainan disambung semula.

"Lebih baik berlatih bersama kumpulan, anda harus bermain perlawanan dalam latihan. Sekarang nampaknya lebih normal dan kami lebih berasa selesa," kata pemain Jerman itu.

"Selama beberapa minggu kami tidak dapat berlatih, tetapi kami telah berlatih bagi mempertingkatkan tahap fizikal."