Pemain Napoli, Kalidou Koulibaly, diuji positif koronavirus menjelang perlawanan separuh akhir kedua Coppa Italia menentang Atalanta dan perlawanan Serie A dengan Juventus.

Pertahanan tengah itu diuji positif virus itu semalam dan sudah memulakan tempoh pengasingan kendirinya menjelang perlawanan liga menentang Genoa awal pagi esok.

Napoli dijadualkan untuk berdepan Atalanta pada Rabu ini sebelum bertemu Juventus -- yang kini mendahului mereka dengan kelebihan dua mata di tangga keempat Serie A -- Sabtu depan.

Satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu berkata: "Selepas ujian swab yang dilakukan pagi ini, Kalidou Koulibaly didapati positif COVID-19.

"Pemain itu tidak menunjukkan sebarang gejala dan akan menjalani pemantauan melalui pengasingan kendiri di rumah."

Napoli telahpun kehilangan khidmat Faouzi Ghoulam menjelang kunjungan ke Genoa selepas pertahanan sayap itu juga didapati positif virus berkenaan.

Selepas bertemu Juventus, Napoli akan berkunjung ke Granada bagi perlawanan pertama pusingan 32 Liga Europa pada 18 Februari ini.