SEVILLA 2 BARCELONA 0

Pengurus Barcelona, ​​Ronald Koeman, tidak percaya bekalan 2-0 yang diraih Sevilla dalam separuh akhir pertama Copa del Rey, awal pagi tadi, adalah gambaran adil buat Blaugrana mengenai perlawanan itu sambil dia mempersoalkan barisan pengadil.


Jules Kounde menghasilkan gerakan individu yang menarik untuk merobek ego pelawat sebelum bekas pemain tengah Barca, Ivan Rakitic, meningkatkan peluang mereka untuk merebut slot perlawanan akhir.

Lionel Messi hampir menggegar gawang Sevilla dengan penjaga gol pelawat, Yassine Bounou, dikerah menyelamatkan empat percubaannya -- bintang Maghribi itu telah menyelamatkan 18 percubaan tepat dalam saingan Copa setakat ini.

Kedua-dua pasukan akan memperbaharui perseteruan mereka di Camp Nou pada 4 Mac depan, namun Barca berdepan laluan berliku dengan reputasi hanya mara sekali apabila kalah dalam pertemuan pertama kepada wakil Andalusia itu dalam Copa.

Barca menguasai permainan sebanyak 53.6 peratus selain menghasilkan 13 percubaan lebih banyak berbanding tuan rumah, tidak hairanlah Koeman kesal dengan hasilnya selepas anak buahnya berhempas pulas.

"Ini adalah keputusan yang terlalu kejam buat pemain," kata Koeman.

"Barca beraksi dengan baik, mencipta peluang berharga.




"Kami memberikan banyak tekanan dalam babak kedua. Saya tidak mampu menyalahkan pasukan. Masih ada aksi timbal balik jadi kami harus berusaha untuk memenanginya dan beraksi dalam final.

"Ia sukar berikutan ketinggalan 0-2. Kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tetapi pertahanan mereka bagus termasuk penjaga gol mereka.

"Di tempat sendiri kelak, kami mampu melakukan apa saja."

Blaugrana berdepan kekecewaan selepas Suso hanya dihukum kerana mengasari Jordi Alba di luar kotak penalti dalam separuh masa kedua, namun Koeman dan barisan pemainnya yakin kekasaran itu berlaku di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, Koeman hairan mengapa pegawai perlawanan tidak menggunakan video bantuan pengadil (VAR).

"Mateu Lahoz (pengadil) secara umumnya seorang pengadil yang bagus," katanya lagi.

"Sudah tentu, ada keraguan dalam kejadian di kotak penalti itu kerana semua orang mengatakan ia adalah sepakan penalti, jadi saya harus mempercayainya -- bukan hanya kem Barca sahaja (menegaskan ia sepatutnya sepakan penalti).

"Saya tidak tahu mengapa VAR tidak campur tangan."