Ronald Koeman berkata Barcelona memiliki masa depan yang baik tetapi meminta untuk bersabar terlebih dahulu selepas meraih kemenangan 5-1 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) ke atas Ferencvaros.

Lionel Messi, Ansu Fati, Philippe Coutinho, Pedri dan Ousmane Dembele menemui sasaran buat Barca, memberikan permulaan dengan kemenangan dalam Kumpulan G awal pagi tadi, sementara Gerard Pique pula diarah keluar padang dalam separuh masa kedua.



Barca hadir ke dalam saingan kali ini dengan musim 2019-20 yang mengecewakan, menyaksikan mereka terlepas kejuaraan LaLiga kepada musuh tradisi, Real Madrid dan diaibkan Bayern Munich 8-2 dalam aksi suku akhir UCL.

Gergasi Sepanyol itu kini dipimpin oleh pengurus Belanda, Koeman dan jurulatih kelahiran negara itu sekadar tewas sekali dalam lima perlawanan musim ini.


"Kami bermain dengan berbeza," kata Koeman.

"Kami melakukan pertukaran dalam pasukan dengan memilih barisan pemain muda jadi kami tidak boleh menjangkakan apa-apa daripada pasukan ini buat masa sekarang.

"Pasukan ini memiliki masa depan yang cerah, tetapi perlu sentiasa mempamerkan peningkatan. Bermain dengan pemain muda, taktikal yang berbeza. Tenanglah, saya meminta anda memberi ruang kepada mereka.

"Kami akan bertambah baik. Kami tidak dapat menuntut ia akan terhasil dalam tempoh dua atau tiga minggu, tetapi anda akan melihat bahawa tidak lama lagi pasukan akan bermain lebih baik, lebih selesa, tetapi kami memerlukan masa."