LEVANTE 3 BARCA 3

Ronald Koeman sedar mengapa keraguan mengenai masa depannya di Barcelona semakin memuncak, lebih-lebih lagi selepas mereka terikat 3-3 di Levante.


Perlawanan di tempat lawan awal pagi tadi itu memberikan tamparan besar kepada harapan mereka dalam perebutan gelaran LaLiga.

Barca memerlukan kemenangan untuk menduduki tangga teratas di Estadi Ciutat de Valencia itu, malah berkesempatan untuk mengaut mata penuh apabila memasuki waktu rehat dengan bekalan gol daripada Lionel Messi dan Pedri.

Begitupun, Blaugrana begitu mudah menyerahkan kelebihan itu mereka sebaik permainan bersambung apabila Gonzalo Melero dan Jose Luis Morales menemui sasaran penyudah dalam masa dua minit.

Ousmane Dembele meletakkan Barca kembali di depan tetapi pertahanan goyah membolehkan Sergio Leon menyusup untuk menyamakan kedudukan -- tujuh minit sebelum masa kecederaan.

Barca mengekori Atletico Madrid dengan satu mata dengan hanya dua perlawanan tersisa sementara Real Madrid ketinggalan satu mata di belakang mereka untuk di tempat ketiga, bahkan kedua-dua kelab ibu kota Sepanyol itu memiliki kelebihan satu perlawanan.

Masa depan Koeman mula dipersoalkan sebelum kegagalan ini, lantas pengendali dari Belanda itu tidak terkejut ketika ditanya apakah dia berasakan posisinya terancam.

Dia berkata: "Pengurus sering dipersoalkan tetapi saya faham situasinya memandangkan permainan kami dalam babak kedua boleh mengundang persoalan.

"Kami kecewa dan kami tertanya-tanya apakah yang berlaku sebenarnya. Kami harus terus memandangkan ke depan dan bersedia untuk menghadapi musim seterusnya.

"Sebagai pengurus, saya perlu bertanggungjawab. Kami ada bercakap mengenai memperkemaskan benteng selain tidak mengendurkan semangat kami ketika rehat. Kami mengharapkannya memandangkan kami mengungguli permainan 2-0. Saya tidak sangka kami masih mencatat seri."




Koeman sedar peluang Barca untuk dinobatkan sebagai juara masih tipis sebelum sepak mula bertemu Celta Vigo dan Eibar kelak.

Tambahnya: "Matlamat kami adalah untuk memenangi ketiga-tiga perlawanan ini sambil berharap pasukan lain akan keciciran mata tetapi situasi ketika ini nampaknya sukar.

"Perlawanan berlangsung selama 90 minit dan kami acap tewas dalam separuh masa kedua. Mereka menimbulkan masalah dan kami tidak bertahan dengan baik. Ia sangat mengecewakan. Mustahil untuk memahami apa yang berlaku. Sukar untuk menjelaskannya."