Borussia Dortmund mengharapkan berita positif berhubung kecederaan yang melanda Erling Haaland dalam kekalahan perlawanan 'Klassiker' kepada Bayern Munich, awal pagi tadi.

Penyerang prolifik remaja itu mencetuskan sensasi dalam Bundesliga sejak menyertai kelab Jerman berkenaan daripada Salzburg Januari lalu.

Bagaimanapun, dia gagal menembusi pintu gol Bayern dan lebih memburukkan keadaan dalam kekalahan 0-1 di laman sendiri itu, yang menyaksikan harapan mereka meraih gelaran semakin kabur, adalah kebimbangan terhadap keadaan lutut kanan Haaland.

Dia terpaksa diganti selepas 72 minit permainan setelah terhincut-hincut selepas cuba menyambut hantaran daripada Jadon Sancho.

Pengurus Dortmund, Lucien Favre, dalam sidang akhbar selepas perlawanan berkata: "Saya rasa dia tidak akan terpinggir lama. Dia mengalami kecederaan lutut. Kami tidak tahu apa situasi sebenarnya."




Dalam lapan permulaan dan tiga penampilan sebagai pemain gantian, Haaland telah merekodkan 10 gol Bundesliga.

Ia adalah satu malam yang mengecewakan buat tuan rumah yang memasuki gelanggang berbekalkan enam kemenangan berturut-turut.

Sekiranya menerima sokongan padu dengan sorakan penyokong mereka di Signal Iduna Park, ia mungkin cerita yang berbeza.

Favre mengakui sorakan penyokong amat ditagih tetapi mereka tiada pilihan lain berikutan wabak novel koronavirus (Covid-19) yang memaksa kesemua perlawanan di Jerman perlu diadakan di gelanggang tertutup.

"Sudah tentu semua orang tahu bahawa kami begitu merindui peminat kami dalam perlawanan ini," katanya.

"Dalam babak kedua misalnya, kami beraksi menghadap "Yellow Wall" (bangku penyokong setia) jadi tentu saja kami merindui kelibat mereka."

Pengendali kelahiran Switzerland itu, bagaimanapun, menolak bahawa kekalahan tipis berkenaan ekoran ketiadaan peminat, sebaliknya menekankan bahawa pasukannya kekukarangan dalam aspek klinikal.

"Kami tidak bagus dalam hantaran terakhir dan juga kurang ketepatan," katanya.

"Kami perlu tingkatkan sedikit lagi pergerakan yang menarik. Pergerakan yang tepat."