Pengarah Kesukanan Paris Saint-Germain (PSG), Leonardo, mengkritik pemain kelab itu kerana hilang pertimbangan ketika terlibat dalam pergaduhan pada lewat permainan susulan tewas kepada Marseille dalam aksi Le Classique awal pagi tadi.

Neymar merupakan antara lima pemain yang dibuang padang dalam pergaduhan di Parc des Princess itu, di mana juara Ligue 1 berkenaan tewas 0-1 kepada seteru tradisi, Marseille.

Marseille menamatkan kemarau 20 perlawanan tanpa kemenangan ke atas PSG ketika tiga tonggak pasukan tuan rumah itu, Neymar, Leandro Paredes dan Layvin Kurzawa, dibuang padang selain Jordan Amavi and Dario Benedetto turut menerima nasib sama susulan insiden dalam waktu kecederaan berkenaan.

Florian Thauvin melakukan jaringan voli pada minit ke-30 untuk memastikan PSG memulakan kempen musim 2020-21 dengan dua kekalahan berturut-turut tanpa sebarang jaringan -- kali pertama sejak musim 1978-79.

Tidak lama selepas itu, Leonardo menyelar pemainnya sambil mengkritik mutu pegawai dan jadual perlawanan itu.

"14 kad kuning dan lima kad merah menunjukkan betapa perlawanan ini berada di luar kawalan, saya tidak akan mempertahankan kelakuan yang tidak perlu dipertahankan itu, saya tidak dapat faham," katanya kepada Telefoot.

"Adakah El Clasico berlangsung pada hari ketiga?.. tiada pasukan sedang berada dalam kondisi 100 peratus.

"Saya tidak faham mengapa mereka tidak meletakkan (Clement) Turpin atau (Ruddy) Buquet (pengadil terbaik di Perancis), mereka memilih pengadil berusia 34 tahun yang tidak berpengalaman untuk menangani perlawanan seperti ini.

"Ini bukan masanya untuk Clasico, kita memiliki Turpin, kita memerlukan pengadil sepertinya untuk perlawanan seperti ini. Kita sudah gila," katanya.

Mengenai pergaduhan itu, Leonardo menambah: "TV merakamkannya, ia akan diadili. Terdapat lima kad merah, di mana ia agak serius.

"Kami perlu tahu apa yang berlaku dan menilai segala-galanya. Perlawanan ini berada di luar kawalan.

"Saya tidak faham dengan VAR (video bantuan pengadil), saya fikir gol pertama OM adalah ofsaid dan gol kedua pula tidak. Perlawanan ini sudah tidak terkawal. Turpin atau Buquet sepatutnya berada di sini. Mereka pasti lebih bersedia.

"Pergaduhan itu amat serius, kami akan menguruskannya secara dalaman, kami akan bercakap dengan pemain kami," katanya.