Bekas rakan sepasukan Cristiano Ronaldo di Real Madrid, Sami Khedira, mengalu-alukan kedatangan kapten Portugal itu ke kelab barunya, Juventus.

Semalam, Madrid mengesahkan bahawa Ronaldo telah diberikan kebenaran untuk menyertai Juve menerusi yuran perpindahan yang dilaporkan berjumlah EUR105 juta (RM495 juta).

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu menjelaskan dalam surat terbukanya yang disiarkan di laman web rasmi Los Blancos bahawa dia memerlukan kitaran baru dalam kariernya.

Ronaldo akan menemui beberapa muka yang tidak asing buatnya di Turin dan salah seorangnya adalah Khedira, rakan sepasukannya sewaktu menjuarai Liga Juara-Juara Eropah yang pertama bersama Madrid.

"Selamat datang ke Turin, Cristiano," kata Khedira menerusi laman Twitter peribadi.

"Kami menikmati aksi bersama di Madrid, saya tidak sabar untuk kembali bekerja bersama anda!

"Hari ini adalah hari yang istimewa buat Juve."