Sami Khedira tidak berhajat meletakkan dirinya sebagai "abang besar dan penyelamat" kepada Hertha Berlin selepas tiba dari Juventus.

Pemenang Piala Dunia itu berkelana ke Hertha pada hari akhir perpindahan musim sejuk selepas dibekukan di Juve -- belum tampil sekali pun di bawah kendalian Andrea Pirlo.

Hertha menduduki tangga ke-15 Bundesliga dan hanya anak tangga dipisahkan dengan zon penyingkiran menerusi perbezaan gol sementara Pal Dardai dilantikkan bagi menggantikan Bruno Labbadia sebagai pengurus minggu lalu.

Khedira berharap dapat menggunakan pengalamannya untuk membantu kelab itu mengelak zon tercorot, namun dia berikrar untuk tidak bersikap besar kepala di bilik persalinan.

Dia mengatakan kepada wartawan: "Saya tidak datang ke sini dan berkata, 'Saya adalah abang besar.' Saya hanyalah lelaki biasa dalam pasukan.

"Ada pemain yang akan mengatakan bahawa itu sememangnya gaya saya. Tetapi hakikatnya saya adalah seorang pemain bola sepak biasa yang mahu melakukan tugasnya di sini.

"Saya ingin mencurahkan pengalaman dan mencipta nama di sini. Tetapi saya bukan ke mari untuk menggambarkan diri saya sebagai bos besar dan penyelamat. Saya hanya sebahagian daripada pasukan ini."




Walaupun hanya berkesempatan beraksi selama 30 minit pada musim 2019-20 sebelum musim lalu ditangguhkan kerana penularan COVID-19 pada Mac, Khedira memberi jaminan bahawa dia sudah bersedia untuk terus beraksi.

"Saya cergas 100 peratus," katanya lagi.

"Apabila anda berlatih di samping pemain kelas dunia seperti Cristiano Ronaldo, Giorgio Chiellini dan Alex Sandro, anda selalu rasa tercabar.

"Saya meninggalkan Juventus seperti ketika saya tiba: sambil ketawa. Saya menghabiskan lima tahun setengah yang hebat di sana. Tetapi sekarang ini saya di Hertha."

Khedira mengikat perjanjian dengan Hertha hingga akhir musim ini tetapi tidak menolak untuk terus kekal.

"Kami telah mencapai kesepakatan untuk bekerjasama hingga hujung musim ini. Itu tidak bermakna ia pasti akan berakhir setakat itu sahaja," katanya lagi.

"Ada kepercayaan di antara saya dan (Pengarah Sukan) Arne Friedrich, jadi kami tidak memerlukan sehelai kertas untuk mengikat kami."