Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengesahkan daripada empat pasukan yang dikenakan pemotongan enam mata, hanya T-Team yang telah mengemukakan rayuan rasmi.

Menurut Ketua Pegawai Operasi FMLLP, Kevin Ramalingam, T-Team mempunyai peluang sama ada hukuman mereka dikurangkan atau sebaliknya tetapi ia bergantung kepada Lembaga Pengarah FMLLP.

T-Team dan tiga lagi pasukan, Kelantan, Perlis dan ATM, dikenakan hukuman pemotongan enam mata kerana gagal melengkapkan pendaftaran Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB) dan keputusan rayuan kelab itu hanya akan diketahui 15 Mei ini.

"Pelanggaran peraturan sudah pun berlaku, jadi kami harus meneliti daripada dua arah. Yang pertama, pelanggaran (peraturan) telah berlaku dan ia tidak dapat dinafikan lagi. Yang kedua, pasukan sedang cuba mematuhi peraturan tersebut," katanya.

Pada masa sama, Kevin menggesa pihak tertentu agar terus jangan mengelirukan keadaan dengan memperbesarkan masalah di luar konteks sebenar.

Tambahnya, isu tunggakan gaji beberapa pasukan adalah perkara berlainan kerana hukuman pemotongan mata hanya berkaitan dengan kegagalan mematuhi peraturan.

"Ini adalah satu isu, di mana setiap pasukan perlu patuh kepada peraturan. Ini adalah perkara asas.

"Adakah mereka mahu FMLLP menutup mata dan membiarkan mereka tidak memathui segala peraturan atau syarat?" soal Kevin.