Bintang skuad negara, Safawi Rasid, mengakui perlu berkerja keras untuk memastikan tempatnya dalam keselebasan utama Harimau Malaya menjelang pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal bulan depan.

Ini kerana posisinya di bahagian sayap kanan turut mampu diisi oleh pemain lain seperti Mohamadou Sumareh dan Arif Aiman Hanapi.

Sebelum ini, Safawi mengalami kecederaan lutut sehingga terpaksa berehat selama hampir dua bulan tetapi kembali menemui sentuhan jaringannya ketika Johor Darul Ta'zim (JDT) menewaskan Penang FC 3-0 kelmarin.

"Bagi saya ia (persaingan) amat bagus buat posisi saya di sebelah kanan kerana jurulatih Tan (Cheng Hoe) mungkin akan pening kepala untuk memilih yang terbaik.

"Jadi, saya tidak kisah siapa yang akan bermain tetapi kami perlu memberikan yang terbaik dalam latihan.

"Saya tidak kisah siapa yang akan bermain tetapi kami akan memberikan 100 peratus buat skuad kebangsaan.

"Kalau boleh saya mahu 'tanam' posisi di sebelah kanan itu.

"Semua tahu bukan senang untuk mendapatkan kembali keyakinan selepas cedera lutut tetapi Alhamdulillah, selepas cedera (lebih) sebulan, saya sudah mendapatkan banyak minit permainan," katanya.