Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan mula menjalani kem kuarantin berpusat buat pertama kalinya tahun ini di Majlis Sukan Negara (MSN).

Difahamkan, 28 Januari ini adalah tarikh hari pertama skuad Harimau Malaya melaporkan diri di Bukit Jalil.

Ia sebagai persediaan untuk kempen pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang sudah ditunda sebanyak tiga kali sejak tahun lalu ekoran kekangan COVID-19.

"Kami ada buat perbincangan dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) tentang hasrat Harimau Malaya untuk mengadakan latihan berpusat di sini.

"Kami masih tunggu perancangan terperinci daripada FAM berhubung bilakah, berapa ramai dan bagaimana bentuk latihan mereka sebelum kebenaran memasuki kem yang mungkin berlaku hujung bulan ini atau awal bulan depan," kata Pengarah Bahagian atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, ketika ditemu bual maya bersama wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, hari ini.

Datuk Haji Hamidin Berterima Kasih Kepada Dato' Sri Reezal Merican Beri Lampu Hijau Harimau Malaya Kembali...

Posted by Football Association of Malaysia on Tuesday, January 19, 2021



Selepas hampir dua tahun gagal untuk dikumpulkan, perkembangan itu sudah pasti melegakan Cheng Hoe.

Seiring dengan perkembangan itu, FAM berminat untuk merebut peluang bertindak sebagai penganjur untuk baki tiga aksi kelayakan sekiranya ia terpaksa diadakan pada Jun depan.

Begitupun, ia tetap bergantung kepada perkembangan semasa kes pandemik itu di Malaysia.

"Kami mungkin boleh menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah.

"Bergantung Mac ini sama ada akan mengadakan perlawanan secara berpusat selain kebarangkalian untuk menawarkan diri sebagai tuan rumah," kata pengurus skuad kebangsaan, Datuk Yusof Mahadi.