Setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, menyatakan persiapan pasukan kebangsaan untuk kejohanan kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) masih dalam keadaan baik walaupun terdapat beberapa kekangan.

Pasukan kebangsaan akan menerima vaksin dos kedua 10 Mei ini dan bakal bertolak ke UAE pada 20 Mei selepas ura-ura yang mengatakan Korea Utara menarik diri ekoran pandemik Covid-19, ini pula reaksi Stuart.

"Buat masa ini, jika Korea Utara menarik diri ia akan memberikan impak negatif namun skuad kebangsaan akan sentiasa bersedia untuk meraih kemenangan dalam setiap perlawanan," kata Stuart.

Sementara itu badan induk bolasepak Malaysia hari ini mengumumkan senarai penuh nama sembilan individu yang telah dipilih sendiri oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bagi menganggotai pasukan petugas khas presiden atau presidential task force.

Antara yang tersenarai adalah Tengku Indera Bijaya Diraja Selangor, Tengku Salehuddin Shah Alhaj, Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Abdul Jalil Abdul Rasheed, serta penggerak utama ultras malaya, Tarmizi Abdul Aziz.

"Tujuan untuk memberikan peluang kepada setiap individu yang dapat memberikan idea kepada FAM bagi membantu kemajuan bola sepak negara," katanya.