BRAZIL 5 BOLIVIA 0

Roberto Firmino meledak dua gol ketika Brazil melepasi cabaran Bolivia 5-0 untuk memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2022 dengan bergaya.


Brazil tidak perlu bermandi keringat dalam kelayakan pembukaan zon Amerika Selatan (CONMEBOL) sebentar tadi hasil sentuhan pemusnahdaripada Firmino, Marquinhos dan Philippe Coutinho selain gol sendiri Jose Carrasco.

Skuad kendalian Tite itu tidak beraksi sejak kemenangan 3-0 ke atas Korea Selatan dalam perlawanan persahabatan, November tahun lalu, berikutan ancaman COVID-19 yang memaksa kempen kelayakan Piala Dunia ditunda ke Mac lalu, tetapi Selecao tidak kelihatan seperti sebuah pasukan yang tampil buat pertama kalinya pada tahun ini.

Skuad Samba itu mendominasi sejak awal permainan dan mereka seharusnya menjaringkan dua gol dalam masa tiga minit, namun Everton dan Marquinhos mensia-siakan peluang keemasan ketika beraksi dalam hujan lebat di Sao Paulo.

Marquinhos, yang hampir mencetak nama selaku penjaring pada minit ketiga, kal ini tidak melakukan kesilapan ketika dia membuat hantaran silang kepada Danilo sekali gus melepasi halangan penjaga gol pelawat, Carlos Lampe, pada minit ke-16.


Bolivia sukar menghadirkan ancaman buat Brazil dan mereka hampir bolos lagi tetapi kali ini rembatan Coutinho memaksa Lampe mempamerkan ketangkasannya.

Benteng Bolivia terus goyah apabila Renan Lodi, yang dibiarkan tanpa kawalan, melepaskan satu rembatan disusuli usaha Firmino untuk menyudahkan peluang terhidang itu dengan satu tolakan mudah.

Brazil terus mengekalkan momentum dalam babak kedua yang menyaksikan Firmino mempamerkan bisanya sebaik empat minit permainan bersambung selepas menerima umpanan daripada Neymar.

Weverton -- yang diturunkan untuk mengambil tempat penjaga gol nombor satu yang tercedera, Alisson -- langsung tidak tercabar sebelum bertindak menafikan percubaaan Bruno Miranda pada minit ke-50.

Brazil tidak menunjukkan belas kasihan ketika Carrasco tertolak bola ke gawang sendiri selepas melewati sejam permainan sebelum hantaran silang Neymar menemui kepala Coutinho untuk kedudukan selesa 5-0 berbaki 17 minit permainan.