Kejayaan menjulang Piala Suzuki AFF merupakan sesuatu yang tidak dapat digambarkan Datuk K. Rajagobal sepanjang 10 tahun ini.

Hari ini genap 10 tahun bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu membimbing Malaysia menjuarai kejohanan terbesar Asia Tenggara itu dan ia masih memberikan makna yang cukup besar buatnya.

Dalam satu temu bual Nadi Arena hari ini, ketua jurulatih baru skuad kebangsaan Brunei itu berkata: "Perasaan itu susah nak cakap. Sampai ke hari ini apabila ada orang tanya tentang Piala AFF, saya fikir suasana pada masa itu tidak akan dapat dirasai lagi.

"Keterujaannya merupakan satu keterujaan buat seluruh rakyat, buat semua warganegara Malaysia.

"Ia sentiasa berjalan di minda saya apabila saya tidak lagi dapat melihat suasana seperti itu di mana seluruh rakyat tanpa mengira siapa pun anda bersatu-padu bersama.

"Sewaktu di Bukit Jalil pada ketika itu (final pertama), saya dapat lihat bendera Malaysia dan ia memberikan pelbagai perasaan seperti emosi dan hendak menangis," katanya.

Penolong Rajagobal pada ketika itu, Tan Cheng Hoe, kini bertindak sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan dan bekas pengendali PKNS FC berkenaan berasakan Malaysia akan menjadi pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan itu tahun depan.

"Mungkin Malaysia akan menjadi pasukan pilihan walaupun kita sedar ada tiga pasukan yang sentiasa akan memberikan cabaran, iaitu Indonesia, Vietnam dan Thailand.

"Malaysia sudah menunjukkan bahawa mereka mampu untuk menewaskan tiga pasukan itu sepanjang tahun ini dan saya rasa ia akan memberikan lebih keyakinan dan dengan pemain yang Tan Cheng Hoe ada pada ketika ini, saya berharap mereka akan memperoleh kejayaan.

"Itulah harapan saya kerana dia adalah jurulatih yang baik dan ikhlas," katanya lagi.