Kejohanan AFC B-19: Maloney anggap skuad sedia ada berkemampuan 

By Shaiful Shamsudin 2 July 2020 514
Kejohanan AFC B-19: Maloney anggap skuad sedia ada berkemampuan 
Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, bersikap terbuka terhadap sebarang kemungkinan untuk merealisasikan gandingan harapan ramai, Luqman Hakim Shamsudin dan Jaami Qureshi, dalam Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan, Oktober depan. 

Begitupun, jurulatih kelahiran Australia itu enggan terburu-buru memikirkan soal itu tanpa ada bayangan jelas mengenai khidmat Jaami yang masih dalam proses didaftarkan sebagai pemain warisan. 

Selain proses dokumentasi, sentuhan pemain berumur 16 tahun, yang sedang mewakili akademi Brighton & Albion di England, itu masih belum benar-benar diuji. 

"Saya berasakan masih terlalu awal untuk bercakap mengenai gandingan mereka memandangkan kita belum pasti apakah Jaami boleh beraksi bersama kami.

"Banyak proses yang perlu dilalui untuk mempertimbangkan sesuatu seperti itu tetapi pintu sentiasa terbuka buat pemain sepertinya, tidak kira pemain warisan atau sebagainya. 

"Andai dia dapat menyertai kami pada masa depan, kami akan kenal pasti kekuatannya sebelum dapat menyesuaikan diri dengan skuad B-19 di samping rakan-rakan sepasukan lain yang handal. 

"Kesemua mereka berbakat dan telah berusaha untuk layak. 

"Sesiapa yang ingin merebut tempat mereka perlu bekerja keras dan buktikan kemampuan masing-masing," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Petaling Jaya, hari ini. 

Maloney juga berasakan skuad ketika ini wajar diberi peluang yang adil selepas berhempas pulas di peringkat kelayakan di Vietnam tahun lalu. 






"Setiap pemain berkemampuan. 

"Pemain seperti Mukhairi Ajmal Mahadi, Umar Hakim Suhar Redzuan dan Luqman Hakim sudah mula beraksi di peringkat senior pada usia 19 tahun. 

"Ia pendedahan dan pengajaran yang baik buat mereka. 

"Bagi pemain dari luar negara pula, kami perlu memastikan di peringkat apakah mereka beraksi selain memastikan kedudukan mereka di kelab atau akademi," katanya. 

Tambah jurulatih berusia 48 tahun itu: "Saya tidak tolak khidmat mereka, saya bersikap terbuka. 

"Kami perlu patuhi segala prosedur sebelum mempertimbangkan semua itu."
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment