MARSEILLE 0 PSG 2

Mauricio Pochettino tidak mahu berselindung bahawa 'pertembungan Classique' awal pagi tadi tidak sama seperti ketika zamannya menyarung jersi Paris Saint-Germain (PSG) akibat wabak COVID-19.


Pengurus PSG itu membawa cabaran PSG ke Marseille buat pertama kalinya sejak kembali ke kelab berkenaan.

Pada pandangan bekas pengurus Tottenham itu, anak buahnya telah menyajikan satu aksi luar biasa untuk kemenangan 2-0 hasil jaringan Kylian Mbappe dan Mauro Icardi.

Selepas perlawanan itu, Mbappe menegaskan adalah penting mereka mempamerkan kebangkitan selepas pertemuan pertama lalu di PSG menyaksikan lima kad merah dilayangkan.

Hanya seorang diperintahkan keluar padang dalam pertembungan kali ini -- Dimitri Payet menerima padah pada lewat perlawanan -- sambil Icardi menyifatkan kejayaan itu sebagai kejayaan "membalas dendam".

Namun, bagi Pochettino pula yang tidak terlibat dalam perlawanan terdahulu, perlawanan getir itu hanya lebih meriah sekiranya peminat kembali Ligue 1 selepas terus dibelenggu pandemik berkenaan.

Ditanya apakah pertembungan iini mengingatkannya pada zamannya sebagainya pemain, pengendali kelahiran Argentina itu menjawab: "Tidak. Saya tidak dapat melihat banyak persamaan berbanding perlawanan masa lalu.

"Betapa indahnya bola sepak sebelum COVID. Kini segalanya hilang.

"Ketika kita melihat saingan di tempat lain, dalam kejohanan berbeza, kedudukan liga tidak menentu dan banyak keputusan yang mengejutkan. Beberapa pemain juga akan menderita.

"Sebuah kelab seperti PSG memerlukan penyokong untuk memantapkan diri dan kami anat merindui kelibat penyokong di stadium."




Kekhuatiran Pochettino sebelum perlawanan itu tertumpu kepada tahap kecederaan Neymar yang menafikannya untuk menjalani persiapan perlawanan itu apabila hanya memainkan peranan kecil bermula dari bangku simpanan.

Khidmat Angel Di Maria turut mengundangkan kegusaran apabila mengalami kecederaan ketika membantu Mbappe membuka tirai jaringan.

Pochettino tampil mempertahankan keputusannya meminggirkan Neymar dengan menjelaskan: "Saya akan menjawab dengan penuh hormat. Sekiranya kelab memberitahu bahawa dia sakit, ia satu jawapan yang telus.

"Saya juga berharap kecederaan Angel Di Maria tidak serius."