'Kecewa sehingga pingat pun dah tak nak pandang', itulah pengakuan bekas penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian, yang mengetepikan sakit usus yang dihadapi demi mencapai kejuaraan 'treble' Selangor pada 2005.

"Saya mengambil keputusan untuk melepaskan pingat kemenangan itu adalah berdasarkan kekecewaan.

"Selepas melihat bekas pemain negara, Khalid Jamlus yang menjual Kasut Emas yang diraih, saya juga mengambil keputusan yang sama atas dasar kekecewaan.

"Melihat pingat itu setiap hari akan lebih menyakitkan hati daripada mengingatkan saya kepada kenangan yang indah," kata Jamsari ketika diwawancara oleh wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

"Bermain demi lencana bermati-mati namun apa yang telah dijanjikan tetapi tidak ditepati."

Pulangan yang diterima begitu hampa, Selangor dikatakan mungkir janji -- Terbit harapan yang disuarakan Jamsari andai pengurusan baru Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sudi untuk bertemu muka.

"Jika terdapat pihak persatuan yang mahu bertemu kami, termasuk beberapa rakan sepasukan yang lain, kami sangat berbesar hati untuk menyelesaikan perkara ini. Tetapi isu ini telah lama namun kami berkhidmat untuk pasukan yang sama.

Bercakap mengenai janji yang telah diberikan, Jamsari berkata, "Perkara yang mengecewakan saya tidaklah melibatkan bonus kerana ia diberikan jika kami menjuarai sesuatu pertandingan tetapi ia melibatkan gaji. Ia merupakan sesuatu yang telah dijanjikan tetapi sehingga kini ia merupakan perkara tidak ditunaikan."

Jamsari menerusi akaun Facebooknya sebelum ini mengumumkan mahu melelong koleksi tiga pingat iaitu pingat juara Liga Perdana 2005, Piala FA 2005 dan Piala Malaysia 2005 selepas jualan pingat sebelum ini (ketika menyarung jersi Kedah) didermakan untuk Palestin dan Syria.

Dia menyatakan jualan pingat itu untuk 'menderma' kepada diri sendiri sekali gus menimbulkan persoalan memandangkan ia dibuat hanya beberapa hari selepas Khalid Jamlus melelong koleksi peribadinya termasuk Anugerah Kasut Emas.