Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Rosmadi Ismail, melahirkan rasa kecewa apabila Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) enggan 'memberi muka' kepada The Red Warriors berhubung pemotongan enam mata.

Kelantan dan T-Team adalah dua pasukan Liga Super yang dikenakan tindakan itu berkuatkuasa serta- merta semalam, selain dua pasukan Liga Perdana, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), turut menerima hukuman sama.

Ia susulan kegagalan keempat-empat pasukan itu menyelesaikan segala tuntutan berkaitan tunggakan gaji pemain, KWSP, Perkeso dan LHDN sebelum 31 Mac lalu.

Hukuman itu diputuskan FMLLP semalam selepas empat pasukan itu tidak mengendahkan beberapa surat peringatan sebelum ini.

"Kami kecewa dengan keputusan ini. Kami akan cuba yang terbaik untuk menangani hukuman ini," katanya.

Sementara itu, T-Team menerusi Ketua Pegawai Operasinya, Aidi-Naim Samsani, mengesahkan pihaknya sudah membuat rayuan terhadap hukuman tersebut, hari ini.

Aidi-Naim dalam satu kenyataan berkata T-Team sebenarnya tidak berdepan sebarang masalah mengenai tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan, namun mengakui mengalami sedikit kelewatan dalam pembayaran KWSP, Perkeso dan LHDN.

Walaupun sudah mengemukakan surat rayuan kepada FMLLP, dia berpandangan hukuman itu boleh menjejaskan moral pemain skuad The Titans.

"Kami telah berbincang dengan jurulatih dan pengurusan pasukan. Kami memiliki sasaran yang mahu dicapai pada penghujung musim ini.

"Ia telah menjejaskan persiapan kami untuk perlawanan seterusnya bertemu Perak."