Jika sebelum ini Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bertegas tidak bersetuju dengan idea pemotongan gaji pemain sepanjang penundaan liga berikutan pandemik Covid-19, nada itu mula bertukar lembut selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut melakukan pemotongan gaji pekerjanya.

Bagaimanapun, kelembutan PFAM itu bersyarat.

Presidennya, Safee Sali, kekal dengan pendirian bahawa pemotongan itu perlu melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.

"FAM mengambil langkah sendiri dan ia perkara yang baik, katanya dalam satu perbualan video bersama wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

"Tindakan ini sama seperti badan induk di seluruh dunia yang terkesan teruk dengan Covid-19.

"Selagi ia melibatkan persetujuan kedua-dua belah pihak, ia bukan satu isu," katanya.

Safee menjadikan UKM FC sebagai contoh yang perlu dielakkan, di mana pasukan itu membuat pemotongan gaji tanpa persetujuan pemain dan pihak UKM FC dianggap tidak telus dalam membuat keputusan itu.

"Ada pemain yang terus menghubungi PFAM untuk menjelaskan perkara ini.

"Persoalannya, bagaimana UKM boleh meneruskan pemotongan gaji sedangkan tiada persetujuan daripada kedua-dua belah pihak dan ia masih lagi di peringkat perbincangan," tambahnya.