Isaac Angking terima panggilan Puerto Rico, mungkin tidak layak wakili Malaysia

By Muzaffar Musa 3 March 2021 6666
Isaac Angking terima panggilan Puerto Rico, mungkin tidak layak wakili Malaysia
Pemain berdarah campuran Malaysia-Puerto Rico, Isaac Angking, berkemungkinan tidak akan mewakili skuad negara selepas perkhabaran terbaru mendapati pemain tengah bertahan itu telah menerima panggilan untuk mewakili Puerto Rico dalam pusingan kelayakan Piala Dunia.

Terdahulu, Angking disebut-sebut sebagai pemain kacukan yang berpotensi untuk mewakili Harimau Malaya dan turut pernah dikaitkan untuk menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bagaimanapun, sekiranya dia diturunkan mewakili Puerto Rico dalam saingan itu, ia bermakna dia tidak lagi layak untuk mewakili Malaysia berdasarkan peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Sebagai rekod, Angking telah mewakili Puerto Rico dalam satu aksi persahabatan menentang Republik Dominican pada awal tahun ini.

Pemain kelahiran Amerika Syarikat itu layak mewakili Malaysia berdasarkan status ibunya yang dilahirkan di Sarawak tetapi sekiranya dia diturunkan mewakili negara lain dalam satu perlawanan rasmi FIFA, terutama yang melibatkan saingan Piala Dunia, kelayakan itu akan hilang secara serta-merta.

Sebagai perbandingan, pertahanan negara, La'Vere Corbin-Ong, turut pernah diturunkan Kanada dalam satu perlawanan persahabatan menentang Scotland pada 2017 tetapi masih layak mewakili Harimau Malaya dua tahun kemudian.
 

About Author

Muzaffar Musa

Comment