Inter Milan menunjukkan betapa mereka sudah meningkat musim ini dengan kemenangan 2-1 ke atas Sassuolo awal pagi tadi, kata ketua jurulatihnya, Antonio Conte.

Skuad Nerazzurri itu kini berkelebihan 11 mata di puncak Serie A hasil kemenangan yang disumbangkan oleh jaringan Romelu Lukaku dan Lautaro Martinez dalam setiap babak -- melalui hanya dua percubaan tepat mereka sepanjang perlawanan itu.

Hamed Junior Traore kemudian merapatkan jurang buat Sassuolo pada lewat permainan tetapi pendahulu liga itu kini menjadi pasukan kedua dalam sejarah Serie A -- selepas AC Milan dalam musim 1989-90 -- memenangi kesemua 10 perlawanan pertama dalam separuh kedua satu kempen semusim.

Inter merekodkan peratusan penguasaan permainan terendah (30 peratus) dalam satu perlawanan Serie A sejak rekod Opta diperkenalkan dalam musim 2004-05 dan jauh ketinggalan daripada segi percubaan jika dibandingkan dengan Sassuolo -- 15 berbalas tujuh.

Tetapi Conte gembira dengan cara pasukannya meraih kemenangan itu sambil menegaskan bahawa mata yang dipungut itu jauh labih penting berbanding prestasi mereka, di mana Inter mempelajarinya daripada pengalaman sukar tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

"Saya mengucapkan tahniah kepada Sassulo di mana mereka benar-benar datang ke sini untuk bermain dan prestasi seperti ini telah menunjukkan betapa kami sudah berkembang," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Dengan sikap seperti ini, kami mungkin masih kekal bersainga dalam UCL.

"Sassuolo menguasai permainan dan kekal kukuh, jadi kami memilih untuk menutup ruang di bahagian tengah berbanding perkara lain. Kami sedar kamu perlu melepaskan penguasaan.

"Cara penampilan itu baik tetapi Scudetto jauh lebih penting. Kami bermain dengan cantik dalam UCL dan apa yang semua orang perkatakan adalah mengenai penyingkiran kami, jadi kami kini hanya perlu fokus kepada keputusan.

"Kami mencuba untuk memberikan tekanan di bahagian atas tanpa terlalu banyak risiko, jadi kami dapat memanfaatkan sepenuhnya pemain seperti Lukaku, Lautaro dan (Achraf) Hakimi, yang mampu memberikan ancaman apabila masuk ke kawasan lawan," katanya.