Inter Milan sedang dalam perbincangan lanjut untuk menandatangani Achraf Hakimi daripada Real Madrid, demikian didedahkan ketua eksekutif skuad Nerazzurri itu, Beppe Marotta.

Hakimi muncul pemain bintang Borussia Dortmund musim ini selepas menyertai pasukan itu secara pinjaman daripada pasukan gergasi LaLiga, Madrid, pada 2018.

Bagaimanapun, Dortmund mengesahkan semalam bahawa pemain itu tidak akan kekal di sana secara tetap selepas Thomas Meunier didatangkan bagi memperkuatkan bahagian pertahanan kanan skuad kendalian Lucien Favre itu.

Kini, Hakimi kelihatan akan menyertai Inter dengan Morata mengesahkan bahawa perjanjian itu semakin hampir untuk dimeterai dan Pengarah Sukan Inter, Piero Ausilio, sedang menguruskan perbincangan buat kelab Serie A itu.

"Kami sedang berada dalam fasa lanjut perbincangan dan kita akan melihat apa yang akan berlaku dalam beberapa hari ini," kata Marotta kepada Sky Italia.

"Saya mahu menunjukkan hormat kepada pemain yang bekerja dan bermain bersama kami pada waktu yang rumit ini.

"kemudian, kami akan melihat lebih ke depan berkenaan apa yang kami mahu untuk meningkatkan tahap kami.

"Ia operasi yang amat-amat penting.

"Saya perlu katakan yang Ausilio sedang melakukan tugas yang amat cemerlang.

"Kini, kami masih perlu menyelesaikan segala-galanya tetapi Ausilio sudah melakukan semuanya sepanjang dua bulan ini dan esok merupakan hari yang penting," katanya.

Pertahanan sayap Maghribi, Hakimi, 21, telah menjaringkan sembilan gol buat Dortmund dalam kesemua kejohanan musim 2019-20.