Antonio Conte menikmati perancangan pertukaran pemain berhasil ketika Inter merakamkan kemenangan 4-3 ke atas Fiorentina dalam aksi Serie A, tetapi memberikan amaran kejuaraan tidak akan dimenangi permainan yang sambil lewa.

Inter bangkit daripada ketinggalan dua jaringan pada lima minit terakhir perlawanan sulung berdepan Fiorentina di San Siro semalam.

Franck Ribery cemerlang buat Fiorentina dengan melakukan dua bantuan jaringan dalam separuh masa kedua, dengan pemain gantian Dusan Vlahovic melepaskan peluang pelawat untuk mendahului 4-2 selepas satu lagi aksi cemerlang dipamerkan pemain kelahiran Perancis itu.

Ribery digantikan pada minit ke-83, dengan Fiorentina mengambil langkah untuk merehatkannya tetapi The Viola dikejutkan dengan dua jaringan lewat daripada Romelu Lukaku dan Danilo D'Ambrosio yang membenarkan naib juara Liga Europa 2019-20 itu meraih tiga mata.

Ketua jurulatih Inter, Conte, membawa masuk Achraf Hakimi dan Alexis Sanchez, dan hantaran silang mereka menjadi punca jaringan. Seperti Hakimi, bekas pemain Barcelona, Arturo Vidal, diperkenalkan daripada bangku simpanan dalam separuh masa kedua.

"Pertukaran pemain menghadirkan kelebihan. Saya sangat gembira dan semua mengetahuinya. Ia akan menjadi musim yang panjang dan memenatkan. Terdapat ruang untuk semua mempertingkatkan lagi mutu permainan.

"Tiga mata adalah penting, kami memiliki banyak peluang dan berjaya meraih empat jaringan.

"Ia adalah aspek positif tetapi tidak boleh dibolosi dengan tiga jaringan seperti ini."



Bekas pengendali Juventus dan Itali itu berkata Inter masih lagi belum mendapatkan keseimbangan ketika bertahan dan menyerang.

"Kami tidak berhati-hati dan perlu meningkatkan lagi mutu permainan," kata Conte. "Jika anda mahu bermain di peringkat yang lebih tinggi, keseimbangan adalah perkara asas yang diperlukan."