Ikut apa yang telah ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), itu reaksi tegas Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, susulan situasi terkini pasukan dalam saingan Liga Malaysia yang mahu turun menjalani latihan dalam masa terdekat.

Ia jelas terarah kepada pasukan Selangor yang muncul pasukan terawal yang mahu gunapakai prosedur operasi standard (SOP) kerajaan negeri tetapi persoalannya, apakah ini bercanggah dengan arahan Kerajaan Persekutuan?

Dalam sidang media harian yang diadakan, Menteri Kanan Kluster Keselamatan itu menegaskan apa yang perlu pada ketika ini adalah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu merangka SOP terlebih dahulu yang akan diteliti pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)dan MKN, sebelum kebenaran untuk menganjurkan sebarang liga perlawanan boleh diberikan kerajaan.

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, liga perlawanan itu tidak akan dibenarkan namun ia akan dibincangkan semula sekiranya tempoh itu berakhir.

Jika ada persatuan negeri berbuat demikian ia akan dikategorikan sebagai satu kesalahan.

"Saya akan berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, mengenai hala tuju saingan bola sepak tempatan," kata Ismail.

"Saya berharap persatuan bolasepak negeri mengeluarkan SOP sendiri, setiap prosedur harus mengikut apa yang telah ditetapkan MKN."