AC Milan akan menguji era berani mereka dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di China pada minggu ini.

Ketua jurulatih, Vincenzo Montella, menyambut pemain tengah Argentina, Lucas Biglia, untuk ketibaan pemain ke-10 Milan dalam musim rehat ini yang dibiayai oleh kumpulan milik Li Yonghong , Rossoneri Sport Investment Group.

Lebih ramai sasaran berprofil tinggi dilaporkan dalam perjalanan walaupun tiada yang sepadan dengan gelombang kejutan yang dicetuskan oleh perpindahan tonggak tengah Itali, Leonardo Bonucci, dari Juventus.

Biglia, Bonucci, penyerang Portugal, Andre Silva, dan bek kanan baru, Andrea Conti, terlambat tiba untuk diturunkan ketika Milan menghadapi Dortmund yang turut melakukan revolusi sendiri di bawah bimbingan pengurus baru, Peter Bosz, dalam aksi pembukaan kejohanan itu, malam ini.

Sama seperti pendahulu mereka, Jurgen Klopp dan Thomas Tuchel, tumpuan Bosz dalam masa terdekat adalah untuk mengekalkan pemain bintang.

Milan dan Chelsea dikaitkan dengan penjaring gol terbanyak Bundesliga 2016-17, Pierre Emerick-Aubameyang.

"Kami tiada tawaran untuk Aubameyang di atas meja setakat ini," kata ketua eksekutif Dortmund, Hans-Joachim Watzke, kepada Die Welt sebelum aksi di Guangzhou.

"Kami akan menunggu beberapa hari lagi tetapi tidak lama."

Aubameyang turut serta bersama Dortmund dalam lawatan mereka ke Asia, dengan tumpuan utama kepada perlawanan di Shanghai malam ini di antara Bayern Munich dan Arsenal yang turun tanpa pemain elit.

Seperti duo Bayern, Joshua Kimmich dan Arturo Vidal, Alexis Sanchez berehat selepas Piala Konfederasi walaupun spekulasi mengenai perpindahan bintang Chile itu kekal berterusan.

Bayern mempunyai masa tiga hari untuk pulih sebelum menghadapi Milan di Shenzhen tanpa sebarang pertembungan Klassiker menentang Dortmund, berbeza dengan perlawanan setempat Manchester dan El Clasico dalam pusingan ICC di Amerika Syarikat.