Zlatan Ibrahimovic kembali berlatih bersama skuad utama AC Milan menjelang kunjungan ke Genoa bagi perlawanan Serie A awal pagi Khamis ini.

Penyerang berbangsa Sweden itu tidak mewakili kelab itu sejak mengalami kecederaan paha ketika menewaskan Napoli 3-1 pada 22 November lalu.

Ibrahimovic menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu untuk memastikan rekod jaringannya mencecah dua angka musim ini -- menjaringkan 10 gol dalam Serie A dengan hanya menerusi enam penampilan.

Bagaimanapun, Milan tidak terlalu terkesan dengan kehilangannya apabila merekodkan kemenangan ke atas Fiorentina dan Sampdoria dalam saingan liga sebelum diikat seri Parma di laman sendiri hujung minggu lalu.

Ketua jurulatih, Stefani Pioli, berkata selepas pasukannya terikat 2-2 di San Siro bahawa Ibrahimovic berkemungkinan akan dapat diturunkan dalam perlawanan menentang Genoa.

Ketika Milan sedang menjalani persiapan perlawanan itu semalam, laman media sosial kelab itu mendedahkan beberapa gambar sesi latihan mereka dan Ibrahimovic dilihat berada dalam kelompok pemain itu.


Milan masih belum dikalahkan dalam Serie A musim ini. Dalam tiga musim terakhir ketika pasukan gergasi Itali itu tidak tewas dalam 11 perlawanan liga (1991-92, 1992-93 dan 2003-04), mereka memenangi Scudetto.

Selepas diikat Parma, skuad Rossoneri itu masih berkelebihan tiga mata di depan seteru, Inter Milan, untuk kini mendahului carta Serie A manakala Napoli dan juara bertahan, Juventus, pula kekurangan satu mata di belakang Inter.