Bekas Presiden Bayern Munich, Uli Hoeness, mula melihat era baru dalam kelab itu tatkala dia berharap Kai Havertz akan mengikut jejak langkah Leroy Sane menyertai pendahulu Bundesliga itu.

Bayern dijangka mendapatkan pemain sayap Manchester City, Sane, dalam jendela perpindahan akan datang selepas usaha sebelum ini tergendala akibat kecederaan panjang.

Gergasi Bavarian itu kini memiliki kelebihan 10 mata di puncak liga mengatasi Borussia Dortmund selepas menewaskan Fortuna Dusseldorf 5-0, semalam.

Berbekalkan potensi untuk Sane tiba Hoeness -- yang merupakan ahli pengurusan tertinggi kelab selepas tempoh presiden yang dipegang tamat -- gembira untuk melihat skuad masa depan.

"Saya percaya kami kini dalam usaha meneruskan kegemilangan dengan generasi baru," katanya.

"Saya fikir, apabila kami berjaya melanjutkan kontrak Manuel Neuer sambil memiliki khidmat Joshua Kimmich, Niklas Sule, Robert Lewandowski sambil mengharapkan David Alaba dan Thiago Alcantara bersetuju dengan kontrak baru, saya berharap Sane akan membangunkan skuad bersama Kingsley Coman dan Serge Gnabry.

"Saya boleh bayangkan jika segalanya berjalan lancar, era baru telah bermula di Bayern."

Pemain sensasi Bayer Leverkusen, Havertz, turut menarik perhatian Bayern selepas menghasilkan 11 gol serta lima bantuan jaringan dalam 26 kesebelasan utama Bundesliga musim ini.

Hoeness tidak menyembunyikan hasrat untuk melihat Havertz ke Bayern tetapi sedar ia bukan perkara mudah memandangkan keadaan kewangan yang terganggu akibat coronavirus.

"Semestinya kami suka untuk mempunyai khidmat Havertz," tambahnya.

"Namun, ketika ini, situasi ekonomi tidak diketahui.

"Saya mahu dia bersama Bayern daripada sudut sukan tetapi hari ini, saya tidak dapat membayangkannya."