GRANADA 1 REAL MADRID 2

Real Madrid tidak boleh mengulangi prestasi babak kedua dalam kemenangan 2-1 ke atas Granada seandainya mereka berhajat merangkul gelaran, menurut Sergio Ramos.


Pasukan kendalian Zinedine Zidane itu mendahului selesa dengan dua gol dalam pertembungan awal pagi tadi yang menyaksikan Ferland Mendy menyumbat gol pertamanya buat kelabnya dari sudut sukar sebelum jaringan Karim Benzema menyusul dalam tempoh 16 minit permainan.

Taktik pengurus Granada, Diego Martinez, akhirnya menyaksikan jaringan Darwin Machis dalam separuh masa kedua untuk tuan rumah merapati jurang.

Percubaan Antonin sempat menguji ketangkasan Thibaut Courtois manakala rembatan Ramon Azeez dikeluarkan Ramos di atas garisan gol di penghujung perlawanan untuk Madrid mengekalkan kelebihan tipis yang ada dan selangkah lagi ditabalkan sebagai juara di Sepanyol.

Madrid berpeluang meraikan kejayaan itu sekiranya mengalahkan Villarreal di laman sendiri awal pagi Jumaat ini, tetapi Ramos memberi amaran kepada rakan sepasukan mereka bahawa mereka harus meningkat prestasi.

"Kami mengendurkan sedikit rentak permainan dalam babak kedua sebaik kami mendahului 2-0," katanya kepada Movistar.

"Kami bersikap santai biarpun kami sepatutnya membunuh perlawanan dan memburu gol ketiga.

"Perkara seperti ini tidak boleh berlaku kerana ada pasukan yang mmapu mengalahkan kami sekiranya kami tidak mengekalkan keamatannya. Kami harus menumpukan perhatian sepanjang 90 minit. Kami memenangi separuh masa pertama tetapi kalah dalam babak kedua -- mungkin ia sesuatu yang perlu direnungkan demi masa depan.

"Kami dibolosi selepas beberapa perlawanan tidak melakukannya. Ini adalah kemenangan yang baik untuk semangat kami tetapi ia hadir dengan perasaan buruk berikutan aksi separuh masa kedua yang buruk.

"Setiap pasukan adakalanya akan melakukan kesalahan ini, bukan hanya Real Madrid sahaja tetapi kami harus pastinya ia tidak berulang.

"Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan tetapi kami berjaya meraih tiga mata pada akhirnya. Kami harus mengekalkan rentak yang sama selama 90 minit. Kami tidak boleh membiarkan tumpuan kami menurun."