Inter Milan telah mengesahkan perpindahan tetap Achraf Hakimi daripada Real Madrid ke kelab Serie A itu.

Hakimi, 21, dilaporkan berhijrah ke Inter menerusi nilai perpindahan berjumlah EUR40 juta (RM193 juta) dan menandatangani kontrak selama lima tahun.

"Pihak kelab mengucapkan terima kasih kepada Hakimi atas sumbangan, nilai profesionalisme dan teladan baik sejak hadir daripada akademi kami pada 2006. Selamat maju jaya untuknya," kata wakil Real.

Pemain Maghribi kelahiran Sepanyol itu mengisi tempoh dua musim secara pinjaman dalam Bundesliga bersama Borussia Dortmund, di mana dia menyinar sebagai pertahanan sayap kanan dalam formasi tiga bek tengah.

Selain meledakkan lima gol, dia juga mencipta 10 bantuan jaringan musim ini sekali gus muncul pertahanan dengan catatatn terbaik.

Dortmund tidak menyembunyikan keinginan untuk mengekalkan Hakimi di Signal Iduna Park tetapi segalanya berubah apabila BVB mengesahkan kehadiran Thomas Meunier secara percuma daripada Paris Saint-Germain (PSG).

Hakimi bersama Real sejak 2006 dan menyertai skuad utama ketika musim 2017-18, bertindak selaku gantian buat Dani Carvajal.

Dia dipinjamkan kepada Dortmund selama dua musim tetapi walaupun menyinar dalam musim 2019-20 di Jerman, ada pihak yang tidak yakin dengan kebolehannya untuk bertahan dalam formasi empat bek.

Dalam masa sama, kontraknya di Madrid bakal tamat pada tahun depan dan selain hanya melihatnya sebagai pengganti buat Carvajal, Real berkemungkinan terlepas khidmatnya secara percuma, tahun depan.

Situasi itu tampak memberikan manfaat buat Inter tatkala pengendali, Antonio Conte, kini memiliki lambakan sayap pertahanan bertaraf dunia seperti Ashley Young, Victor Moses, Antonio Candreva, Cristiano Biraghi dan Kwadwo Asamoah sebagai pilihan bagi musim 2019-20.